DEFINISI
PEMBENTUKAN KATA
Nik
Safiah Karim (2010), mendefinisikan perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas
dan mengandungi makna yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk
bunyi bahasa. Perkataan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu kata
tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Pembentukan kata dapat
dilihat dari segi unsur-unsur yang
membentuknya, yakni unsur-unsur yang bagaimana dan juga hubungan paradigmatik
antara unsur-unsur berkenaan. Unsur-unsur yang mendirikan kata adalah morfem
dan penelitian tentang gabungan morfem menjadi kata itulah yang dikenal sebagai
morfologi.
PERBANDINGAN
Dalam
buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2010), Nik Safiah Karim menyebut cara
membentuk perkataan ini sebagai pembentukan katamanakala Abdullah Hassan di
dalam Linguistik Am (2007), menyebutnya sebagai menerbitkan perkataan. Walaupun
istilahnya berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu tentang proses
bagaimana cara membentuk perkataan dalam bahasa Melayu
Menurut
Nik Safiah Karim (2010), bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk
perkataannya iaitu:
i) Bentuk kata tunggal.
ii) Bentuk kata terbitan.
iii) Bentuk kata majmuk
iv) Bentuk kata ganda.
Mengikut
buku Linguisti Am (2007), pula Abdullah
Hassan menyenaraikan tiga kaedah menerbitkan kata iaitu:
i) Pengimbuhan.
ii) Penggandaan
iii) Pemajmukan
* Bentuk Kata Tunggal
Menurut
Nik Safiah Karim (2010), perkataan- perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak
menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan
perangkaian tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata tunggal ini pula
dibahagikan kepada beberapa jenis kata tunggal iaitu:
i) Kata tunggal satu suku kata.
ii) Kata tunggal dua suku kata
iii) Kata tunggal tiga suku kata.
iv) Kata tunggal empat suku kata dan lebih.
Walaupun
terdapat kata tunggal yang tidak pernah menerima apa-apa imbuhan seperti ini,
itu, sini dan sana. Namun kebanyakan kata tunggal dalam bahasa Melayu mempunyai
potensi untuk diperluas dan menjadi bentuk terbitan. Jika dilihat dari segi
penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi daripada satu suku kata atau
beberapa suku kata. Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal sahaja
atau vokal disertai satu konsonan atau satu vokal dengan beberapa konsonan.
Konsonan- konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak di
hadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).
* Kata tunggal satu suku kata.
Jumlah
kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu agak terhad. Ada
antaranya merupakan pinjaman daripada bahasa asing terutamanya bahasa Arab dan
bahasa Inggeris. Ada juga perkataan yang merupakan kependekan bagi perkataan
dua suku kata atau lebih. Misalnya ku untuk aku dan tu untuk itu. Tetapi
perkataan sedemikian tidak dianggap perkataan satu suku kata.
* Kata tunggal dua suku kata.
Sebahagian
besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua suku kata.
Antara pola kata tunggal dengan dua suku kata adalah seperti aku, aur, angka,
indah, tua, kuih, guru, bakul, bangsa dan bintang.
* Kata tunggal tiga suku kata
Jumlah
kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil jika dibandingkan dengan kata
tunggal dua suku kata. Namun begitu, pola- pola susunan konsonan- vokalnya agak banyak. Kebanyakan perkataan tiga suku
kata ini terdiri daripada kata- kata pinjaman. Contohnya, tuala, ziarah, idea,
deria, azali, istana, sutera, jendela, akaun dan gelombang.
* Kata tunggal empat suku kata dan lebih.
Terdapat
sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih.
Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contohnya ialah keluarga,
bijaksana, mandalika, dinihari, kapitalis, universiti dan maharajalela.
Selain itu, kata akronim juga
tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata akronim boleh ditulis dengan cara:
i) Gabungan beberapa huruf awal rangkai
kata – ABIM
ii) Gabungan suku kata dengan huruf awal atau
dengan suku kata – Mara
iii) Gabungan suku kata dengan suku kata –
tabika
Daripada
contoh- contoh di atas, jelas kelihatan bahawa cara pembentukan kata akronim
sebagai satu proses pemendekan dan penggabungan untuk membentuk kata mempunyai
potensi dalam bahasa Melayu. Tetapi, pembentukkannya agak longgar iaitu tidak
berdasarkan prinsip yang jelas. Oleh itu, proses pembentukan ini tidak
digalakkan sebagai satu kaedah pembentukan kata untuk membentuk perkataan
baharu atau kata istilah dalam bahasa Melayu. Abdullah Hassan tidak menyatakan
cara pembentukan kata melalui bentuk kata tunggal di dalam buku Linguistik Am.
* Bentuk
Kata Terbitan / Pengimbuhan
Di
dalan buku Tatabahasa Dewan (2010), Nik Safiah Karim menerangkan kata terbitan
ialah bentuk perkataaan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses
menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk
perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat
sementara kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan.
Hanya segelintir kata dasar merupakan morfem terikat yang disebut akar. Imbuhan
ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat iaitu harus
diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Berdasarkan kepada
kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis
iaitu :
i) Kata terbitan berawalan (hadir sebelum
kata dasar).
- Awalan kata nama.
- Awalan kata kerja
- Awalan kata adjektif
ii) Kata terbitan berakhiran (hadir sesudah
kata dasar).
- Akhiran kata nama
- Akhiran kata kerja
iii) Kata terbitan berapitan (hadir secara
mengapit kata dasar).
- Apitan kata nama
- Apitan kata kerja
- Apitan kata adjektif
iv) Kata terbitan bersisipan (hadir dicelah
kata dasar).
- Kata nama
- Kata adjektif
- Kata kerja
Manakala
Abdullah Hassan (2007), menyebut kata terbitan sebagai pengimbuhan. Pengimbuhan
ialah proses membentuk perkataan. Ia dilakukan dengan mencantumkan imbuhan
kepada kata dasar. Kata dasar ialah perkataan major yang menerima imbuhan. Kata
dasar juga boleh terdiri daripada morfem bebas atau terikat atau satu perkataan
terbitan hasil daripada pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Imbuhan adalah
morfem terikat iaitu morfem yang tidak dapat berlaku sendiri. Imbuhan mesti
dicantumkan kepada kata dasar terlebih dahulu. Imbuhan terdiri daripada :
i) Awalan (dicantumkan pada pangkal kata
dasar)
ii) Akhiran (dicantumkan pada akhir kata
dasar)
iii) Sisipan (disisip selepas konsonan pertama
kata dasar)
iv) Apitan (dicantum pada pangkal dan akhir
kata dasar serentak)
Oleh
itu, kita dapat melihat persamaan pendapat antara buku Tatabahasa Dewan dengan
buku Linguistik Am dalam membentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses
pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar walaupun dari
segi istilahnya berbeza kerana Nik Safiah menyebut kata terbitan manakala
Abdullah Hassan menyebut pengimbuhan. Tetapi hakikatnya, proses yang berlaku
adalah sama.
* Bentuk Kata Majmuk / Pemajmukan
Menurut
Tatabahasa Dewan (2010), proses pemajmukan adalah proses yang merangkaikan dua
kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata
majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit iaitu bentuknya tidak
boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, kerusi malas ialah
kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti ‘yang’. Sebaliknya
pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’.
Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:
i) Kata majmuk yang terdiri daripada
rangkaikata kata bebas.
ii) Kata majmuk yang berbentuk istilah
khusus.
iii) Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan.
Selain
itu, terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah
dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut
ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja
bercantum sebagai satu perkataan. Contohnya, antarabangsa.
Di
samping itu, terdapat sejumlah perkataan yang bukan kata majmuk yang tergolong
dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum. Contohnya,
peribadi, barangkali dan sukacita. Penggandaan kata majmuk melibatkan
penggandaan unsure pertama sahaja. Contohnya, alat- alat tulis. Satu kecualian
ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap. Penggandaannya
melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya, warganegara- warganegara. Kata majmuk
juga boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata
majmuk terdapat dalam dua bentuk iaitu;
i) Apabila kata majmuk menerima imbuhan
yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Contohnya,
campur aduk - bercampur aduk.
ii) Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang
merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Contohnya, satu padu –
menyatupadukan.
Dalam
buku Linguistik Am pula, Abdullah Hassan menyebutnya pemajmukan. Kata majmuk
ialah binaan perkataan yang lazimnya terdiri daripada dua kata. Setiap kata
tersebut boleh terdiri daripada kata akar atau kata terbitan. Kata majmuk yang
dihasilkan bertaraf sebagai perkataan. Ini bermakna kata majmuk tersebut
mempunyai ciri- ciri kesatuan sebagai satu patah perkataan, mempunyai satu
makna seperti satu perkataan dan mempunyai fungsi sebagai satu perkataan.
Apabila kata- kata tersebut bergabung
menurut hukum binaan sintaksis bahasa Melayu, iaitu diterangkan mendahului yang
menerangkan, maka kita katakan binaan itu mematuhi hukum DM. Kata majmuk
demikian dipanggil kata majmuk sintaktik. Contohnya ialah kaji cuaca dan sebar
luas. Apabila kata majmuk itu bergabung dengan tidak menurut hukum DM, maka
binaan kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk bukan sintaktik. Contohnya
ialah bumiputera dan mahasiswa. Kata bumi ialah penerang dan putera ialah inti
yang diterangkan. Ini bermakna binaan ini menurut hukum MD iaitu yang
menerangkan mendahului inti yang diterangkan.
Menurut
Abdullah Hassan (2007), kata majmuk ialah binaan morfologi tetapi frasa ialah
binaan sintaksis. Tiga ciri yang menunjukkan kata majmuk itu bukan frasa ialah:
i) Kata majmuk mempunyai makna khas
sebagai satu perkataan.
ii) Kata majmuk mempunyai siri kesatuan
sebagai satu kata.
iii) Kata majmuk terdiri daripada satu kumpulan
tertutup.
Penulisan
kata majmuk dieja bergantung kepada kebiasaan. Ada yang dieja terpisah contohnya kereta api. Ada juga kata majmuk
yang dieja bergabung contohnya antarabangsa. Pandangan ini adalah sama dengan
Nik Safiah kerana di dalam buku Tatabahasa Dewan terdapat 30 kata majmuk yang
dieja sebagai satu perkataan. Selain itu, ada juga kata majmuk yang digandakan
seluruhnya bagi menunjukkan bilangan yang banyak. Contohnya ialah kakitangan-
kakitangan. Kata majmuk juga dipecahkan kepada kata nama majmuk, kata kerja
majmuk, kata adjektif majmuk, kata adverba majmuk dan kata tugas majmuk.
* Bentuk Kata Ganda / Penggandaan
Mengikut
Nik Safiah, proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang
menggandakan kata dasar. Dalam proses ini, kata dasar boleh mengalami
penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak iaitu
berdasarkan rentak bunyi tertentu. Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis
penggandaan iaitu:
i) Penggandaan penuh
ii) Penggandaan separa
iii) Penggandaan berentak
* Penggandaan Penuh
Penggandaan
penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar
itu mengandungi imbuhan ataupun tidak.
i) Penggandaan penuh kata tunggal –
contohnya ialah ayat- ayat.
ii) Penggandaan penuh kata berimbuhan.
- Dengan awalan – contohnya ialah
ketua- ketua.
- Dengan akhiran – contohnya ialah
ajaran- ajaran.
- Dengan apitan – contohnya persatuan-
persatuan.
* Penggandaan separa
Penggandaan
separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar
boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan.
i) Penggandaan separa kata tunggal – contohnya
ialah sesiku.
ii) Penggandaan separa kata berimbuhan .
- Dengan awalan kata kerja- contohnya
ialah berlari- lari dan tolong- menolong.
- Dengan awalan kata adjektif –
contohnya ialah sepandai- pandai.
- Dengan akhiran kata nama – contohnya
ialah sayur- sayuran.
- Dengan akhiran kata kerja – contohnya
ialah doa- doakan.
- Dengan akhiran kata adjektif –
contohnya ialah rindu- rinduan.
- Dengan apitan kata kerja – contohnya
ialah bersalam- salaman, mendewa- dewakan, mengulang- ulangi dan dibayang-
bayangi.
- Dengan apitan kata adjektif –
contohnya ialah kebodoh- bodohan.
* Penggandaan berentak
Penggandaan
berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi
tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar
digandakan dan bunyi- bunyi tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan
dan pengulangan bunyi- bunyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan
kepada tiga jenis iaitu:
i) Penggandaan berentak pengulangan vokal.
ii) Penggandaan berentak pengulangan
konsonan.
iii) Penggandaan berentak bebas.
Di
dalam buku Linguistik Am (2007), Abdullah Hassan turut menyatakan proses
penerbitan kata boleh berlaku melalui penggandaan manakala Nik Safiah
menyebutnya sebagai bentuk kata ganda. Walaupun istilah berbeza tetapi ia
membawa maksud yang sama. Pada pendapat Abdullah Hassan, penggandaan ialah
proses menerbitkan perkataan dengan menggandakan kata dasar. Abdullah Hassan
menyenaraikan empat jenis penggandaan menurut cara kata dasar digandakan iaitu:
i) Gandaan penuh.
ii) Gandaan separa.
iii) Gandaan rentak
iv) Gandaan bebas.
* Gandaan Penuh.
Gandaan
penuh boleh dilakukan pada kata akar dan kata terbitan daripada golongan kata
nama, kata kerja dan kata adjektif.
i) Kata Nama (membawa maksud banyak dan
menyerupai). Contohnya:
- meja- meja ( banyak meja).
- Orang- orang (banyak orang atau
lembaga orang bagi menakutkan burung di sawah)
ii) Kata Kerja (membawa maksud perbuatan
dilakukan berulang atau tidak serius). Contohnya:
- Makan- makan (makan berterusan)
- Main- main (main berterusan, tidak serius
melakukan sesuatu)
iii) Kata Adjektif ( membawa maksud sifat yang
menyeluruh). Contohnya:
- Putih- putih (putih belaka)
iv) Kata Adverba (menerangkan bila dan jangka
masa sesuatu perbuatan atau perihal keadaan berlaku). Contohnya:
- Sampai- sampai (sebaik sahaja sampai)
v) Kata Terbitan (menghasilkan perkataan
kompleks). Contohnya:
- Pemain- pemain (ramai pemain)
* Gandaan Separa
Penggandaan
separa adalah kelainan bentuk penggandaan penuh yang berlaku kepada kata nama
tunggal. Seluruh kata tunggal boleh digandakan atau hanya suku kata pertama
digandakan. Bunyi vokal dalam suku kata yang digandakan itu berubah menjadi e
pepet. Kata ganda separa membawa maksud yang sama dengan kata ganda penuh.
Contohnya:
i) Kata Nama – laki laki- laki lelaki (jantan, ramai laki- laki)
ii) Kata Kerja – tulis tulis- tulis tetulis ( menulis berkali- kali)
iii) Kata Adjektif – sedap sedap- sedap sesedap (sedap belaka)
iv) Kata Adverba – laju laju- laju lelaju (dengan laju)
* Gandaan Rentak
Ada
beberapa kata nama yang boleh menerima penggandaan rentak sama ada rentak suku
kata atau berentak bunyi. Fungsi gramatis penggandaan rentak ialah menunjukkan
banyak yang beraneka. Perubahan suku kata atau bunyi vokal memberi tambahan
aneka kepada pengertian banyak yang sudah ada pada kata ganda tersebut.
Terdapat tiga jenis penggandaan rentak iaitu :
i) Rentak suku kata awal – bukit bukit- bukau
ii) Rentak suku kata akhir – lauk lauk- pauk
iii) Rentak bunyi vokal – suku suku – sakat
* Gandaan Bebas
Bentuk
gandaan bebas mengandungi bentuk bebas. Bentuk kata dasar itu ada tetapi
gandaannya hanya wujud dalam bentuk penggandaan sahaja. Fungsi gramatisnya juga
menunjukkan banyak. Bilangan penggandaan begini tidak banyak. Contohnya ialah:
-
ipar ipar- duai (ramai ipar)
Rangkap kata berbeza daripada kata
ganda. Dalam gandaan, ada kata dasar yang digandakan. Dalam rangkap kata,
kedua- dua perkataan itu adalah perkataan lain sama sekali. Sebagai contoh
cerdik pandai ialah rangkap kata. Bentuk perkataan pandai bukanlah pengganda
kepada cerdik. Sebaliknya pandai ialah pasangan rangkap kepada cerdik. Oleh
sebab itu, rangkap kata bukanlah kata bebas.
* Kata Ganda dan Imbuhan
Perkataan
berganda juga berlaku dengan imbuhan. Bagi kata nama, penggandaan mestilah
berlaku di awal, di akhir atau mengapit kata dasar yang digandakan. Kata ganda
nama boleh menerima imbuhan ber-, -an, me-…-kan dan di-…-kan. Contohnya:
i) Dengan awalan- ber + hari- hari berhari- hari
ii) Dengan akhiran – ber + bunga- bunga berbunga- bunga.
iii) Dengan apitan – dikepal- kepalkan
iv) Dengan awalan di tengah – rayu- merayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan